NILAI KEDUDUKAN KEWANGAN ANDA
Sebelum memulakan sebarang rancangan untuk membuat pelaburan, anda perlu terlebih dahulu menilai kedudukan kewangan anda, dan menentukan berapa banyak yang anda boleh ketepikan untuk membuat pelaburan iaitu sebagai satu cara menambah simpanan tunai anda. Oleh itu, anda harus mempertimbangkan soalan-soalan berikut:
Berapakah pendapatan semasa anda?
Berapa banyak wang simpanan anda?
Berapa banyak boleh anda simpan pada setiap bulan?
Apa tujuan anda menyimpan wang?
Apakah aset cair yang anda miliki umpamanya simpanan atau saham?
Apakah aset tetap yang anda miliki umpamanya rumah atau rumah kedai?
Apakah pinjaman yang telah anda ambil dan berapa banyak faedah atau
bayaran pokok yang anda kena bayar balik?
Amat penting menilai kedudukan kewangan semasa anda dengan jujur, tahu di mana kedudukan anda sebelum membuat keputusan arah tuju masa depan. Senaraikan data kuantitatif anda, umpamanya pendapatan dan nilai pelaburan semasa serta data kualitatif seperti keutamaan dan matlamat gaya hidup.
Selepas menilai kedudukan kewangan semasa, anda bolehlah menetapkan matlamat dan menentukan sama ada anda mahu menyimpan wang untuk membeli sebuah rumah dalam masa tiga hingga lima tahun akan datang atau mengumpul kekayaan untuk persediaan ketika bersara. Atau mungkin untuk menunaikan fardu haji ataupun pendidikan tinggi anak-anak dalam masa lima hingga 10 tahun lagi.
SEDIAKAN PELAN KEWANGAN SENDIRI
Perancangan kewangan adalah satu proses di mana pelabur individu menilai matlamat dan kedudukan kewangan sendiri untuk menyediakan dan melaksanakan sesuatu pelan kewangan. Pelan kewangan membabitkan keputusan sama ada "hendak melabur atau tidak melabur" atau "hendak membuat pelaburan dalam apa atau tidak membuat pelaburan dalam apa". Ini pula bukanlah sesuatu yang statik tetapi proses berterusan. Setelah membuat penetapan, anda perlu mengawasi pelan kewangan supaya ia boleh menyerap perubahan dalam matlamat peribadi anda, persekitaran ekonomi dan maklumat baru yang diterima. Ia adalah satu proses berterusan yang mengaitkan kedudukan kewangan peribadi dengan objektif kewangan anda sambil mengambil kira persekitaran kewangan yang sentiasa berubah-ubah.
Objektif kewangan anda mungkin merangkumi, antara lain :
- Menghasilkan tahap pendapatan yang dikehendaki
- Mengekalkan atau meningkatkan kuasa pembelian aset.
- Mewujudkan tahap risiko yang boleh diterima
- Mencapai tahap kecairan dan kelenturan yang sesuai.
- Mencapai tahap terjamin dan berdikari yang memadai untuk masa kini dan akan datang
- Memaksimumkan pulangan dalam tempoh tertentu
- Mewujudkan jadual waktu yang sesuai untuk melabur, tempoh memegang sesuatu pelaburan itu dan melepaskan pelaburan.
WaAllahu'alam
No comments:
Post a Comment